Bagi saudara-saudara kita di jalan dakwah, marilah kita mengambil pelajaran dari catatan kecil dari perjalanan panjang kita agar kita lebih merasakan kesyukuran dan ketundukan kepada Allah S.W.T. di atas kurniaanNya kepada kita yang berada dalam kebersamaan ini.
Berbahagialah dan berbanggalah kerana Allah S.W.T. telah memilih kita berada di jalan ini. Allah S.W.T. telah memberi keistimewaan kepada kita ketika kita menerima nikmat hidup berjamaah dan ini adalah kurniaan yang terbaik yang kita terima setelah kurniaan keimanan kepada Allah S.W.T.
Kurniaan yang kita perolehi bukan kerana nasab, status, harta mahupun ilmu tetapi ia adalah semata-mata kurniaan dari Allah S.W.T. Yang Maha Pemurah, yang menuntun langkah kita hingga sampai di sini, di jalan ini dan pada saat ini.
Allah swt berfirman :
"Dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah S.W.T. menyelamatkan kamu daripadanya." [Surah Ali Imran : 103]
Nikmat ini tidak boleh direndahkan, diremehkan dan dipermainkan.
Kita mesti menjaga dan memelihara nikmat yang teramat agung ini dan kita wajib merasa khuatir andaikata nikmat itu hilang.
"Ya Tuhan kami, jangan Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanalah kepada kami rahmat di sisi Engkau, kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi (kurnia)" [Ali Imran : 8]
DARI SINI KITA BERMULA
Jalan Dakwah mengajarkan bahawa kita sememangnya memerlukan dakwah. Kebersamaan dengan saudara-saudara kita di jalan ini semakin menegaskan bahawa kita mesti hidup bersama mereka di jalan ini agar berhasil dalam kehidupan di dunia dan di akhirat.
KEPERLUAN BERADA DI JALAN INI
Kita ingin menjadi seperti para pendahulu kita di jalan ini yang telah banyak memperolehi pahala dan kerwdhaan Allah S.W.T. kerana peranan-peranan dakwah mereka dan oleh kerana itulah, kita memang sangat memerlukan jalan ini sebagai penyokong kebahagiaan kita di dunia dan di akhirat.
Tidak hairan jika para penyeru kebaikan menjadi sebab turunnya limpahan rahmat dan kasih sayang Allah S.W.T. Tidak ada makhluk Allah S.W.T. yang mendapat dukungan dan doa seluruh makhlukNya kecuali mereka yang melakukan usaha dakwah dan perbaikan.
Ini jelas, sebagaimana sabda Rasululllah S.A.W.:
"Sesungguhnya Allah S.W.T., para malaikat, semut yang ada di dalam lubangnya, bahkan ikan yang ada di lautan akan berdoa untuk orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia." [HR Tirmizi]
Allah S.W.T. menjelaskan tiga kelompok manusia dalam persoalan ini.
Pertama:
Kelompok penyeru dakwah yang soleh.
Kedua:
Kelompok solehin tapi tidak menyerukan dakwah.
Ketiga:
Kelompok yang mengingkari dakwah.
Allah S.W.T. berfirman :
Dan (ingatlah) ketika suatu kaum di antara mereka berkata: “Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat keras?” Mereka menjawab: “Agar kami mempunyai alasan (pelepas tanggung jawab) kepada Tuhanmu, dan supaya mereka bertaqwa." Maka tatkala mereka melupakan apa yang diperingatkan kepada mereka. Kami selamatkan orang-orang yang melarang dari perbuatan jahat dan Kami timpakan kepada orang-orang yang zalim siksaan yang keras, disebabkan mereka selalu berbuat fasik. [Al A’raf : 164-165]
Nas Al-Qur’an di atas merupakan peringatan bagi kita bahawa meninggalkan peranan dakwah tidak pernah diterima walau apapun alasannya bahkan boleh jadi sikap tersebut boleh mengundang kemarahan Allah S.W.T.
Ada pula hadits Rasulullah S.A.W. yang lainnya di mana Abu Bakar R.A. mengatakan :
Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah saw bersabda : "Sesungguhnya manusia jika mereka melihat kemungkaran dan mereka tidak merubahnya, dikhuatirkan mereka akan diratakan oleh Allah swt dengan azabNya" [HR Ahmad dan Abu Daud]
SAHABAT-SAHABAT PILIHAN
Pastikan bahawa sahabat yang menemani kita dalam perjalanan ini adalah orang yang boleh membantu kita dalam melaksanakan prinsip agama, mengingatkan kita tatkala lupa dan memberi dorongan ketika kita tersedar.
Imam Al Ghazali menyebutkan dalam Ihya’Ulumiddin :
“Sesungguhnya seseorang itu tergantung kepada agama temannya dan seseorang itu tidak dikenal kecuali dengan melihat siapa temannya”
KITA DAN AMAL KOLEKTIF
Realiti yang kita lihat sendiri bahawa manusia cenderung akan menjadi lemah ketika bekerja seorang diri dan sebaliknya akan menjadi kuat dan berdaya maju ketika ia besama-sama dengan orang lain.
Ada juga realiti lain bahawa sesiapapun yang berusaha mewujudkan sesuatu, meskipun mereka telah ikhlas dalam melakukannya, tetapi tidak akan banyak memberi pengaruh untuk mewujudkan keadaan yang diinginkan jika ia melakukannya bersendirian kerana kesendiriannya itu menyebabkan usaha yang mereka lakukan menjadi lemah dan sedikit kesannya.
Bekerja untuk Islam secara mutlaknya memerlukan :
1. Sebuah organisasi.
2. Pimpinan yang bertanggungjawab.
3. Pasukan dan anggota yang taat.
4. Peraturan dasar yang mengikat dan mengurus hubungan antara pimpinan dan anggota.
5. Batas-batas tangungjawab dan kewajiban.
6. Usaha bagi menjelaskan tujuan dan wasilah serta semua yang diperlukan oleh suatu aktiviti dakwah dalam merealisasikan tujuannya.
Dalam kebersamaan itulah kita semua menempuh jalan dakwah ini.
PERJALANAN INI MEMERLUKAN PEMIMPIN
Sebaik-baiknya suatu perjalanan itu hendaklah dipimpin oleh orang yang :
1. Paling baik akhlaknya.
2. Paling lembut dengan sahabat-sahabatnya.
3. Paling mudah terketuk hatinya.
4. Paling mungkin dimintakan persetujuannya untuk urusan yang penting.
Seorang pemimpin diperlukan kerana pandangannya yang bervariasi untuk menentukan arah perjalanan dan kemaslahatan perjalanan. Tidak ada peraturan tanpa kesatuan pengaturan. Alam ini menjadi teratur kerana Pengatur Alam Semesta ini adalah satu.
Kita mesti mempercayai bahawa para pemimpin itu sebagai pemandu perjalanan kita. Maka, setelah proses syura selesai, walauapapun keputusannya, itulah yang akan kita pegang untuk dilaksanakan. Kita juga mesti yakin bahwa keputusan syura itu tidak pernah keliru dan keputusan itu sebenarnya bersifat ‘Mulzim’ (Mengikat).
Meskipun ada kemungkinan bahawa akibat dari pelaksanaan satu keputusan syura akan menghadirkan satu situasi yang tidak memenuhi maslahah yang diingini tetapi sebuah keputusan yang berlandaskan syura tidak pernah salah.
Inilah yang pernah juga disampaikan kepada kita oleh Ustaz Sa’id Hawa rahimahullah, bahawa hasil syura tidak pernah salah kerana mekanisma itulah yang diajarkan oleh Islam untuk menentukan langkah yang dianggap paling benar. Meskipun pada akhirnya, keputusan itu ternyata tidak memberikan kesudahan seperti yang diharapkan, maka proses syura itu jugalah yang akan melihat dan menilai kembali segala kekeliruan yang berlaku sebelumnya.
JALAN DAKWAH ADALAH GAMBARAN PERJALANAN YANG SEBENAR
Bersama-samanya kita di jalan ini bukannya tanpa perselisihan. Boleh jadi ada di antara kita yang mengalami kerenggangan hubungan disebabkan oleh beberapa perkara padahal, keharusan kita untuk bersama dan kemungkinan kita berselisih, adalah dua kutub yang saling berlawanan.
Dalam satu kelompok atau kumpulan memerlukan :
1. Kesepakatan.
2. Kerjasama.
3. Kesesuaian.
4. Kedekatan.
5. Keakraban.
Sementara perselisihan pula boleh menimbulkan :
1. Kerenggangan.
2. Ketidaksukaan.
3. Kebencian.
4. Keterpisahan.
CIRI-CIRI PENEMPUH JALAN
Ada tiga jenis kelompok yang menempuh perjalanan ini :
1. Kelompok "Zaalimun Li Nafsihi" di mana mereka adalah orang-orang yang lalai dalam memepersiapkan bekalan perjalanan. Mereka enggan untuk mengumpulkan apa-apa yang membuatkan mereka sampai kepada tujuan.
2. Kelompok "Muqtashid" di mana mereka adalah golongan yang mengambil bekalan sekadarnya sahaja untuk mampu sampai ke tujuan perjalanan. Mereka tidak begitu menghiraukan bekalan apakah yang seharusnya mereka bawa dan miliki jika ternyata mereka akan menghadapi situasi tertentu yang menyukarkan perjalanannya.
3. Kelompok "Saabiqun Bil Khairaat" yakni orang-orang yang obsesinya adalah untuk meraih keuntungan sebesar-besarnya. Mereka membawa bekalan dan barang dagangan yang melebihi dari yang secukupnya kerana mereka tahu hal itu akan memberi keuntungan besar baginya. Selain itu mereka juga tahu bahawa di tengah-tengah perjalanan ini, berkemungkinan besar mereka akan mengalami situasi sulit yang sangat memerlukan bekalan tambahan.
Begitu pentingnya bekalan ketaqwaan yang erat kaitannya dengan modal ruhiyah kita di jalan ini, maka setiap kali ketaqwaan kita mulai lemah, pada ketika itu kekuatan dakwah kita menurun.
Ketika tingkatan ketaqwaan kita berkurang dari yang semestinya, ketika itulah kita mengalami situasi futur (kelemahan) untuk meneruskan perjalanan ini. Begitulah pelajaran yang kita temui dalam diri kita dan juga saudara-saudara kita di jalan ini.
MENJADI BATU BATA DALAM BANGUNAN INI
Kebersamaan kita di jalan ini adalah kerana kehendak kita untuk mengambil bahagian dalam bangunan besar ini. Maka, sebagaimana proses membangun sebuah bangunan pada umumnya, tukang batu pasti akan memilih-milih batu bata manakah yang akan ia tempatkan pada bangunannya.
SUASANA DALAM MEMBANGUNKAN PERSEPAKATAN
Tidak semua batu bata diletakkan pada posisi yang tinggi dan tidak juga perlu semuanya ada di bawah bahkan kadang-kadang si tukang batu akan memotong batu bata tertentu jika diperlukan untuk menutup posisi batu bata yang masih kosong bagi melengkapi bangunannya.
BATU BATA YANG UNIK DAN KHAS DI JALAN INI
Para sahabat dan salafus soleh menerima dan mengejar kekhususan itu agar mereka memiliki kedudukan istimewa di sisi Allah swt. Di jalan dakwah ini, kita memiliki saluran yang amat banyak untuk mewujudkan kekhususan yang kita miliki dengan memberi sumbangan di jalan ini.
Kita memetik hikmah dari perjalanan mereka dan kita berharap semoga jalan dakwah ini mampu memproses diri kita hingga kita memiliki amal-amal yang unggul yang menjadi keistimewaan kita di sisi Allah swt melalui jalan ini.
SIKAP MENOLONG BUKAN MEMINTA UNTUK DITOLONG
Sesungguhnya di jalan inilah kita semakin mendalami makna kehidupan yang bersumber dari kemanfaatan kepada orang lain.
Kehidupan seseorang menjadi lebih berharga ketika ia mempunyai saham dan peranan bagi orang lain manakala kehidupan akan menjadi miskin makna dan rendah nilainya ketika ianya hanya banyak bermanfaat bagi lingkungan peribadinya semata-mata.
Dengan falsfah inilah yang menyebabkan kita menikmati kesibukan berfikir dan melakukan banyak aktiviti dakwah di antara kesibukan lain yang menyertai kita. Di sini, kita lebih merasakan pengaruh firman Allah S.W.T.:
"Jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia (Allah) menolong kamu dan mengukuhkan kaki-kaki kamu." [QS Muhammad : 9]
PERSEPAKATAN KITA TERIKAT DENGAN LIMA PERKARA
PERTAMA : ‘Rabithatu al ‘aqidah’ (Ikatan Aqidah).
Tali ikatan aqidah Islamiyahlah yang menyatukan kita dengan jalan ini dan kesamaan imanlah yang menghimpun dan mengikat kita bersama dengan saudara-saudara kita di sini.
KEDUA : ‘Rabithatu al fikrah’ (ikatan pemikiran).
Sejak dari awal kebersamaan kita di jalan ini memang dibangunkan oleh kesamaan cita-cita dan pemikiran. Kita disatukan oleh kesamaan :
1. Idea.
2. Gagasan.
3. Keinginan.
4. Cita-cita hidup.
di mana kita semua yakini merupakan wasilah yang akan menyampaikan kita kepada keridhaan Allah swt.
KETIGA : ‘Rabithatu al ukhuwwah.’ (ikatan persaudaraan).
Tidak ada yang melebihi warna jiwa kita setelah keimanan kepada Allah kecuali suasana persaudaraan kerana Allah swt di jalan ini. Kita di jalan ini terikat dengan ruh persaudaraan yang tulus yang tersemai melalui kebersamaan kita berjalan dan memenuhi banyak tugas-tugas dakwah yang kita jalani.
Kita berharap, persaudaraan kita di jalan ini adalah seperti yang digambarkan oleh Rasulullah saw tentang golongan orang-orang yang dinaungi Allah di hari kiamat di mana salah satu golongan itu adalah : Orang yang saling bercinta kerana Allah, bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah swt.
KEEMPAT : ‘Rabithatu at tanzhim.’ (ikatan organisasi).
Perancangan dan teraturnya langkah-langkah kita di jalan ini sudah tentu menandakan kita mesti pula memiliki sebuah organisasi yang mengatur gerakerja kita. Dalam organisasi dakwah ini, berlakulah ketentuan sebagaimana orang yang bekerja di dalam sebuah perusahaan dan seharusnya terikat dengan berbagai peraturan yang berjalan di dalamnya. Maka seperti itulah juga kebersamaan kita di jalan ini.
KELIMA : ‘Rabithatu al ‘ahd.’ (ikatan janji).
Di jalan ini, kita masing-masing telah mengikrarkan janji. Janji yang paling minima adalah janji yang tercetus dalam hati kita dan dalam diri kita sendiri kepada Allah swt di samping janji kepada saudara-saudara seperjalanan kita untuk tetap setia dan mendukung perjuangan ini. Kita sebenarnya terikat dengan dua jenis janji ini.
PERKARA YANG MELEMAHKAN IKATAN DALAM AMAL KOLEKTIF
Mengetahui sebab-sebab orang yang meninggalkan amal kolektif bukan suatu perkara yang mudah. Lebih-lebih lagi apabila mereka yang bersangkutan itu tidak berterus terang tentang latar belakang sikapnya. Perlu ada pendekatan yang bertahap dan bersungguh-sungguh hingga akhirnya boleh ditemui penyebabnya dan dicarikan jalan keluarnya.
Dalam perkara ini, tentu sahaja sikap berterus terang disertai kejujuran menjadi penting bagi kita dan saudara-saudara kita. Sesungguhnya kepercayaan antara kita akan semakin kuat terbentuk dengan adanya sikap berterus terang ini. Dari sikap ini, semua persoalan mampu dicari pangkal masalahnya dan jalan penyelesaiannya.
KEPERCAYAAN SEBAGAI MAHARNYA
Jika kesatuan barisan umat ini dibangunkan dengan :
1. Mempersatukan keyakinan.
2. Mempersatukan hati.
3. Mempersatukan niat.
4. Mempersatukan tujuan.
5. Mempersatukan manhaj (jalan hidup) yang semuanya berpandukan kepada Al Qur’an dan As Sunnah.
Maka kebangkitan dan kemenangan umat Islam akan semakin dekat untuk kita raih.
Atikel Bersambung.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

0 comments
Post a Comment